Friday 13 July 2012

SEJARAH SRI AMAN


SEJARAH SRI AMAN 

Kerajaan Brooke telah memerintah Sarawak selama 100 tahun dari 1841 hingga 1941. Untuk menstabilkan keadaan huru-hara akibat perang yang berleluasa di Sarawak pada ketika itu, Rajah Charles Brooke, pada 1 Jun 1873, membentuk tiga bahagian pentadbiran iaitu Bahagian Pertama (sekarang dikenali sebagai Bahagian Kuching), Bahagian Kedua (Sri Aman) dan Bahagian Ketiga (Sibu). 
Pentadbiran setiap Bahagian diketuai oleh seorang Residen sebagai wakil Rajah dan beliau dibantu oleh pegawai-pegawai daerah di peringkat daerah. 
Di samping itu, untuk mengukuhkan kuasa pentadbiran, kerajaan Brooke membina kubu-kubu di tebing-tebing sungai yang strategik. Pada tahun 1849, Kubu James sempena nama Rajah Sarawak yang pertama iaitu Sir James Brooke didirikan di Skrang, kira-kira lima batu ke hulu Sungai Batang Lupar selepas peperangan Beting Maru pada 31.7.1849. Namun begitu disebabkan tanahnya yang terlalu rendah menyebabkan sering berlaku banjir. Dalam tahun 1864, Kubu James telah dirobohkan dan kebanyakannya bahannya telah dipindahkan ke Simanggang (Sri Aman). 
Pada tahun 1864, kubu ini telah dibina semula di Simanggang (Sri Aman) dan kekal tidak bernama untuk beberapa tahun sehingga ketibaan Permaisuri Margaret Alice di Sarawak pada tahun 1870 dan akhirnya kubu tersebut diberi nama Kubu Alice, sempena nama Kristian Permaisuri yang kedua. Kubu Alice dibina di Simanggang (Sri Aman) adalah untuk mengawal pergerakan suku kaum sungai Skrang dan Batang Ai. 
Dengan kewujudan Kubu Alice di Simanggang (Sri Aman), Pemerintahan Brooke dapat melancar ekspedisi yang lebih berkesan terhadap pemberontak-pemberontak Iban di Ulu Batang Ai. Antara ekspedisi yang penting yang dilancarkan pada tahun-tahun berikutnya ialah Ekspedisi Ulu Ai Pertama pada Oktober 1875, Ekspedisi Ulu Ai Kedua (Disember 1875), Ekspendisi Kolera, Delok (9 Jun 1902), Ekspedisi Menyebat dan Engkari (4 Oktober 1902), Ekspendisi Ulu Ai, Pau (8 November 1902), Ekspedisi Menentang Delok (1 September 1908) dan ekspedisi terakhir sekali ialah Ekspedisi Ke Delok dan Jengin (2 November 1915). 
Penubuhan Kubu dan Perintah di Simanggang (Sri Aman) sangat berkesan dan berjaya menamatkan peperangan serta menjadi satu pusat kuasa yang penting bagi Rajah mengenakan kuasanya ke atas pemberontak suku kaum untuk tunduk dan menerima pentadbirannya. Biasanya bagi menandakan berakhirnya perang suku kaum, satu Majlis Perdamaian diadakan. Perjanjian Damai Dayak yang bersejarah diadakan di Simanggang pada 4 Ogos 1920 dan juga pada 1 Februari 1924. Sebagai tonggak kepada pentadbiran Bahagian dan Daerah Simanggang (Sri Aman), banyak Jabatan-Jabatan bagi pemerintahan Brooke telah ditempatkan bersama Residen dan Pegawai Daerah Simanggang. Pada 1 Jun 1873 sistem pentadbiran Residen untuk Bahagian Sri Aman ditubuhkan dan kemudiannya diikuti pula dengan penubuhan dan penempatan Pegawai-Pegawai Daerah Simanggang. Kemudian pada tanggal 21 Oktober 1973, nama Simanggang ditukar kepada Sri Aman selepas pengisytiharan Perjanjian Keamanan di antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan pengganas komunis. Penukaran nama ini dikuatkuasa melalui Swk. LN 42/80 of Part II of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980. Bagi memantapkan lagi sayap pentadbiran daerah, maka empat Pejabat Daerah ditubuh iaitu Pejabat Daerah Sri Aman, Pejabat Daerah Lubok Antu, Pejabat Daerah Betong dan Pejabat Daerah Saratok termasuk sembilan Pejabat Daerah Kecil iaitu Pejabat Daerah Kecil Lingga, Pejabat Daerah Kecil Pantu, Engkilili, Pejabat Daerah Kecil Maludam, Pejabat Daerah Kecil Debak, Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Pejabat Daerah Kecil Pusa, Pejabat Daerah Kecil Roban dan Pejabat Daerah Kecil Kabong. 
Selepas Perang Dunia Kedua, Sarawak menjadi sebuah koloni Empayar Inggeris. Pegawai-pegawai Inggeris telah dihantar ke Sarawak untuk bertugas sebagai Residen dan Pegawai Daerah. Pemimpin tempatan daripada keluarga berada dilantik sebagai Pegawai Bumiputera (Native Officers). 
Selepas Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, Kerajaan Negeri Sarawak terus mengekalkan sistem pentabiran Bahagian. 
Setelah itu, Pejabat Residen mengosongkan Kubu Alice dan berpindah ke kawasan bersebelahan di hadapan Kubu Alice. Bagunan lama itu sekarang telah dirobohkan untuk membina Bagunan baru Pejabat Residen.
Setelah itu, Pejabat Residen berpindah ke komplek Kerajaan Negeri di tingkat dua dan tiga pada 1.3.1971. Jabatan-jabatan lain dtempatkan bangunan berkenaan adalah Mahkamah Persekutuan di tingkat bawah dan Perbrndaharaan Negeri di tingkat satu. 
Pada 13.10.1973, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Haji Abdul Rahman Ya’kub menerima satu surat daripada Encik Bong Kee Chok, Director and Commissar of PARAKU (Party Rakyat Kalimantan Utara) untuk menamatkan penentangan pihak komunis PARAKU kepada Kerajaan Negeri Sarawak. Surat Deklarasi Sri Aman telah ditandatangani pada 21.10.1973 bertempat di Rumah Simanggang. Residen, Sri Aman yang turut hadir semasa upacara berkenaan adalah Tuan Hj. Mohd. Fauzih b. Hj. Abd. Hamid. Untuk memperingatkan peristiwa Sri Aman pada 4.3.1974, Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan 5 Mac adalah cuti umum bagi seluruh Negeri Sarawak. 
Pejabat Residen telah berpindah ke Bangunan Pejabat Residen yang baru siap dibina di hadapan Komplek Kerajaan Negeri pada tahun 1994. Kini, Kubu Alice telah diambil alih oleh Muzium Sarawak dan dijadikan sebagai sebuah muzium mini. 
Walaupun negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia telah menyingkirkan Sistem Residen , Sarawak masih mengekalkan sistem itu dengan sedikit perubahan. Residen sekarang tidak lagi berfungsi sebagai wakil Rajah yang memiliki kuasa dan protokol yang tinggi dalam pentadbiran negeri. Sebahagian besar tugas Residen ialah perancangan, pemantauan dan penyeliaan program-program pembangunan di sesuatu Bahagian. 
Selepas pengisytiharan Betong sebagai Bahagian Betong pada 26.3.2002, Pentadbiran, Bahagian Sri Aman hanya mempunyai dua daerah iaitu Daerah Sri Aman dan Daerah Lubok Antu dan tiga daerah kecil iaitu Daerah Kecil Pantu, Daerah Kecil Lingga dan Daerah Kecil Engkilili. 
Pada hari ini, pentadbiran Bahagian di Sarawak masih mengekalkan kedudukan Residen sebagai Ketua Pegawai Tadbir di peringkat bahagian manakala Pegawai Daerah di peringkat daerah.
 

No comments:

Post a Comment